Pages

Tuesday, January 18, 2011

8 Tahun Lalu

"Mama! Kenapa orang tak boleh ikut?" tanya budak perempuan itu. Ternyata dia juga bimbang apabila mendengar khabar tentang ayahnya yang kononnya terpaksa ditahan di hospital.


     Melihat mamanya terburu-buru selepas saja menerima panggilan yang membawa khabar tentang ayah, laju saja kakinya mendapatkan mamanya. Jelas kelihatan daripada ekspresi wajah mama, khabar yang baru saja tiba itu bukan sesuatu yang menyenangkan.


     "Mama tak lama kat hospital tu. Lepas tengok ayah di hospital mama baliklah. Kamu stay kat rumah jaga adik-adik. Mama boleh percayakan kamu kan?" tanpa kalam budak perempuan berumur sebelas tahun itu hanya mengangguk menahan tangis anak kecilnya. 


     Budak perempuan yang telah diserahkan tanggungjawab sebagai anak sulung itupun menjalankan amanah sepertimana yang mamanya harapkan. Ya. Situasi seperti ini, mama memang memerlukan dia untuk membantu. Langkah kecilnya bersama bunga yang dipetik di jalanan di genggam elok menuju ke tadika berhampiran rumahnya untuk menjemput adik perempuannya. Dengan nyanyian kecil di bibir hanya untuk menghiburkan hati sepanjang perjalanan di bawah sinar mentari petang.



     "Mana mama?" tanya si adik.


     "Pergi hospital tengok ayah,"


     "Ouh, ayah sakit?"


     "Hmm,"


     Perbualan yang singkat antara budak perempuan itu dengan adiknya tiba-tiba terhenti. Terdengar suara seseorang memanggil-manggil namanya. Lantas dalam kiraan yang sama dua beradik itu menoleh ke arah suara itu. 


     "Ah aunty? kenapa?" aneh benar cara wanita yang sebaya mama itu memandangnya. Matanya merah seolah dan bibirnya bergetar seolah ada sesuatu yang berat yang cuba ditahannya.


     "Banyakkan sabar ya nak. Semoga arwah ayah kamu tenang di SANA," tutur wanita itu sambil mengusap ubun-ubun budak perempuan itu. 


     Tersenyum lagi. Budak itu hanya tersenyum mendengar apa yang dikatakan wanita itu. 


     "Aunty, memanglah mama pergi hospital pagi tadi. Mama tengok ayah sakit kat hospital. Rileks aunty. Hehe," lalu dia meneruskan langkah menghala ke rumah. Sekejap budak itu terfikir 'orang yang masuk hospital mesti meninggalkah?' Persoalan yang sama tingkatnya dengan pemikiran kanak-kanak.


     Setiba di rumah, hati budak perempuan itu gembira bukan kepalang sejurus melihat sosok mamanya. Dengan muka yang muram tetapi masih tersenyum mama mengajak mereka semua ke hospital untuk menziarahi ayah. 


    Sepanjang perjalanan budak perempuan itu menceritakan kisah perbualannya tadi dengan wanita yang dipanggil aunty itu. Mama hanya memandang kosong. Tiada respon hanya senyum yang tawar. Lalu budak perempuan itu membagi-bagi bunga-bunga yang dipetiknya kepada adik-adiknya. Seorang sekuntum. Pertama kepada adik lelakinya yang dua tahun muda darinya. Seterusnya kepada adik perempuannya yang masih tadika. Akhir sekali kepada adik perempuannya yang bongsu berusia dua tahun setengah. 


     "HOSPITAL QUEEN ELIZABETH," dibaca kuat susunan perkataan itu seolah-olah untuk memberitahu adik-adiknya tentang ketibaan mereka.

     "Mama, di mana bilik ayah?"


    Pertanyaan yang sepi tidak berjawab dibiarkan terbang oleh bayu masa. Langkah di atur membontoti langkah mama. Satu-persatu ruang dilalui semua masih tidak jelas bagi budak perempuan berumur sebelas tahun itu.  


     'BILIK JENAZAH.' Satu-satunya ruang yang jelas dan difahami oleh budak perempuan itu. Hatinya mulai berombak. Satu-persatu wajah insan yang tidak asing baginya ditatap penuh pertanyaan. Atok, nenek dan semua memandangnya dengan mata berkaca-kaca. Apa semua ini? Mengapa dengan mereka? Ada sesuatu yang sedihkah? Bilik jenazah?


     "Kalau ada mana-mana keluarga jenazah yang mahu memberi kucupan terakhir bolehlah lakukan sekarang sebelum  kita sempurnakan kafan," kata seorang lelaki tua yang muncul tiba-tiba di sebalik pintu berwarna biru itu. Pintu yang memisahkan sebuah ruangan kecil dengan ruang legar bilik jenazah itu.


     "Ayah?" laju saja kalam itu termuntah selepas melihat sekujur tubuh terbalut dengan kain putih terlentang tidak bermaya di tengah-tengah bilik itu. Hatinya beku. Retak. Seolah-olah ingin pecah. Kakinya lemah. Rebah. Seakan tiada kudrat untuk berdiri. Tangannya bergetar. Terlepas sekuntum bunga yang tadinya kejap dalam genggaman. Tanpa di undang air matanya jatuh seperti butiran mutiara yang terputus dari utasnya. Perlahan-lahan kakinya melangkah ke arah jasad yang sudah tiada rohnya. Tangannya menggenggam tiang seolah-olah minta pimpinan. 



     'Itu ayah. Adik, itu ayah. Mama, itu ayah. Kenapa balut ayah macam tu? Mama, bawa ayah balik rumah.' ini semua hanya mampu dijerit dalam hati. Sudah tiada upaya untuk berbicara. Dalam kebingungan budak perempuan itu berbisik perlahan ke telinga jenazah ayahnya.


     'Macam mana dengan janji ayah untuk bawa orang main di pantai?'


     'Ayah, tahun depan orang UPSR.'


    'Ayah, raya tahun ni orang patut pakai kasut warna apa?'


     'Ayah, orang dah tak da ayah lain. Cuma ayah seorang. Macam mana?'


     'Ayah, macam mana ayah boleh tinggalkan orang tanpa beritahu orang dulu?'


    Persoalan-persoalan yang tiada kematangan padanya. Persoalan-persoalan yang tiada balasan. Persoalan-persoalan yang masih tiada jawabnya. Persoalan-persoalan yang menulis plot sebuah cerita tentang seorang anak perempuan.


     17 Januari 2003. Tarikh yang merakam sebuah episod hitam. Episod yang mengisahkan takdir dan kekuasaan Allah S.W.T. Episod seumpama warkah yang di hantar ke riba mencatatkan satu ketentuan tanpa salam bermadah. Namun, segalanya punya hikmah. Budak perempuan yang kebingungan dan keliru dengan permainan hidup lapan tahun dulu perlahan-lahan belajar erti hidup yang benar-benar hak. Budak perempuan yang menangis teresak-esak meratapi pemergian mengejut insan yang dianggap hero hidupnya kini mulai tabah mengusap air mata. Kisah lapan tahun lalu membentuk peribadi seorang budak perempuan yang mulai dewasa. Terima kasih ya Allah atas segala tarbiyyahMU.


Wallahuta'ala 'alam.


    
    

    

    

    

No comments:

Post a Comment