Pages

Friday, November 5, 2010

Siapa itu Ulul Albab?

"Assalamu'alaikum Munawarah,"
  
"Wa'alaikumussalam kak. Ada apa?"


"Munawarah tahu tak hari ni ada usrah?"


"Tahu. Tapi tak tahu kat mana," aku menjawab dengan penuh rasa bersalah. 


Sungguh lalai diri ini. Bagaimana pula aku boleh membiarkan insan lain yang menjemputku untuk menghadiri majlis tazkiyatun nafsi seperti ini. Bukankah ini tanggungjawabku terhadap rohaniku. Maka akulah yang patut berusaha untuk mencari taman-taman syurga itu. Astaghfirullahal'azim. Bertuah aku kerana masih ada yang perihatin tentangku lantas tidak membiarkan aku menyalahgunakan waktu yang ada.


Kerana kealpaanku, aku lewat menyertai kumpulan usrah itu. Pasti sudah banyak ilmu yang mereka rungkaikan. Aku segera mengambil tempat duduk dan mengeluarkan sebatang pena dan sebuah buku merah jambu. Buku yang telah aku khususkan untuk mencatat mana-mana ilmu yang penting yang bakal aku perolehi dalam halaqah sebegini.


Demi mendengarkan butiran kalam yang dituturkan oleh salah seorang naqib yang berpengalaman di kolejku, lantas aku dapat mengenal pasti topik yang sedang hangat dibahaskan. Perbahasan di antara beberapa orang naqib dan anak-anak usrah tersebut menambah keriuhan majlis itu.


Aku hanya menjadi pendengar dan mencatat apa yang baru serta penting bagiku. 'ULUL ALBAB'. Hebat juga topik ini sehingga boleh menimbulkan perbahasan di antara beberapa pihak. Ya. Sesungguhnya perbahasan itu perlu untuk mencari keputusan yang benar-benar terbaik dalam agama. Maka aku suka dengan kalimah " Berbahaslah kamu untuk mencari kebenaran. Bukan mencari kemenangan" yang sering diingatkan kepadaku oleh seorang ustaz di sekolah dahulu.


ULUL ALBAB...beginilah bunyinya kalimah yang sering disebut-sebut dalam kitab suci al-Quran. Istilah khusus yang dipakai al-Quran untuk menyebut kelompok manusia pilihan semacam intelektual. Namun, siapakah ULUL ALBAB ini sebenarnya? Adakah ia masih wujud di zaman milenia ini? Jika memang benar wujud, maka siapakah dia?


Seperti yang dikatakan oleh salah seorang naqib yang tidak kurang hebatnya, kalimah ini 16 kali disebut di dalam al-Quran. Namun, sejauh itu, al-Quran sendiri tidak menjelaskan secara definitif konsepnya tentang ULUL ALBAB. Ia hanya menyebutkan tanda-tandanya sahaja. Kerana itulah, para mufassir kemudian memberikan pengertian yang berbeza-beza tentang ULUL ALBAB. 

  • Imam Nawawi menyebut ULUL ALBAB adalah mereka yang berpengetahuan suci, tidak hanyut dalam derasnya arus. Dan yang penting, mereka mengerti, menguasai dan mengamalkan ajaran Islam.
  • Ibn Mundzir pula menafsirkan ULUL ALBAB adalah orang yang bertakwa kepada Allah SWT, berpengetahuan tinggi dan mampu menyesuaikan diri di segala lapisan masyarakat, elit ataupun marginal.
Seterusnya, usrah itu berlangsung pula dengan merungkaikan ciri-ciri ULUL ALBAB ini. Naqib dan Naqibah silih berganti dalam membentangkan lebih lanjut tentang topik ini. Maka jari-jemariku juga menari-nari di atas kertas menggerakkan tarian yang sama rentaknya dengan kalam yang mereka bicarakan. Hasilnya dapatlah aku menterjemahkan segala point dalam bentuk penulisan seperti ini : 


Ciri-ciri ULUL ALBAB >>>
  1. Senantiasa mengingati Allah SWT.
  2. Senantiasa melihat keindahan dan mengaitkannya dengan kebesaran dan kebijaksanaan Allah.
  3. Golongan ini ialah golongan yang mengelakkan perkara-perkara bid'ah.
  4. Golongan yang tidak pernah jemu untuk beribadah kepada Allah.
  5. Mereka ini ialah mereka yang apabila diuji sentiasa bersabar.
  6. Mereka yang memandang 'alam sebagai bendera kerajaan Allah.
  7. Kumpulan manusia yang teliti dan kritis dalam menerima informasi, teori, proporsisi, ataupun dalil yang dikemukakan orang lain [QS az-Zummar, 18]
  8. Mereka selalu berpegang pada kebaikan dan keadilan. [ QS al-Maidah, 100]
  9. Mereka sanggup mengambil pelajaran dari sejarah umat terdahulu. [QS az-Zummar, 9]
  10. Mereka tidak takut kepada siapapun kecuali Allah semata-mata.


Dan begitulah panjang lebarnya proses aku mengenali dan mengetahui siapa itu ULUL ALBAB sehingga tidak sedar bahawa mentari pun sudah semakin melabuhkan tirainya dan rembulan pun mulai menyuluh sang buana. Maka program usrahku yang pertama bagi semester dua inipun diakhiri dengan bacaan suratul 'Asr wa tasbih kifarah. Semoga saja akan ada lebih banyak lagi ULUL ALBAB di dunia ini. Dan aku sudah semestinya lebih bersemagat untuk menjadi salah seorang ULUL ALBAB. InsyaAllah.



Wallahuta'ala 'alam.

Kesimpulan : ULUL ALBAB bukan sekadar ilmuan atau intelektual. Dalam diri ULUL ALBAB terpadu sifat ilmuan, sifat intelektual dan sekaligus sifat orang yang dekat dengan Allah SWT.

Notakaki : Ada antara point berkenaan topik ini tidak aku selitkan. Seandainya ada yang terkurang bagi anda harap kongsikan bersama untuk menambah ilmu. 

No comments:

Post a Comment