Pages

Sunday, October 31, 2010

Mencari Sakinah 2

"Azan. Laungan itu namanya Azan. Dan orang yang melaungkannya adalah bilal." Halawatul Iman memberikan penjelasannya kepadaku sebelum memusatkan kembali pandangan matanya kepada ayat-ayat yang tersusun pada buku hijau yang dipegangnya.

"Oh! Tapi kenapa azan mesti dilaungkan sebelum kamu sembahyang?" Tanyaku lagi sambil mengingat kembali apa yang kulihat dan dengar semalam ketika  aku melangkah ke masjid berkubah biru itu tanpa sedar.

"Jane, sebenarnya azan adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh orang-orang Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardhu supaya orang-orang mukmin boleh diseru agar mereka bergesa berkumpul mengerjakan solat fardhu. Jadi, sebab itulah azan mesti dilaungkan sebelum mendirikan solat," jelas Iman panjang lebar. Aku mengangguk laju sambil meneliti tajuk buku yang dipegang oleh Iman sepanjang perbualan kami. Menarik. Tapi malu aku untuk meminjamnya. Dalam hati aku berasa kagum melihat Iman. Mungkin dengan membaca buku-buku seperti itu dia dapat bertemu sakinah yang dicarinya.

Aku semakin nekad. Ya. Esok adalah harinya.

*****
Pagi itu aku melangkah ke sekolah seperti biasa. Cuma hari ini aku lebih tekad. Aku harus melakukannya. Sudah tidak tertahan keinginanku ini. Aku yakin dengan keputusanku. Apapun natijahnya nanti akan kuhadapi dengan hati yang tabah. Lantas aku menyuarakan keinginanku kepada Iman setelah bertemu dengannya. Aku tahu dia akan menolongku kerana dia satu-satunya sahabat yang boleh aku percayai.

"Alhamdulillah. Benarkah Jane? Baguslah kalau macam tu. Saya gembira dengan keputusan awak tu. Tapi benarkah awak dah bersedia?"

"Iman, saya tak pernah seyakin ini. Awak sudikan membantu saya?"

"Kenapa tidak sahabatku,"

Setelah bunyi loceng berteriakan, aku segera menarik tangan Iman. Kami melangkah beriringan ke bilik guru. Hatiku semakin berdebar. Peluh hangat membasahi dahi dan tapak tanganku. Dalam hati aku bertanya apakah mama dan papa akan memarahiku jika mereka tahu apa yang telah aku lakukan. Tidak. Aku harus bersedia. Aku akan bertanggungjawab atas keputusanku ini. Dengan cara inilah aku dapat menemui ketenangan yang sudah bertahun-tahun kucari. Mataku melilau mencari kelibat Ustazah Fatini. Tidak Sabar.

"Hah! Benarkah Jane? Alhamdulillah. Ustazah tidak keberatan untuk membantu Jane. Insyaallah ustazah akan bantu dengan ilmu dan keupayaan yang ustazah ada," Ustazah Fatini seolah-olah terkejut mendengarkan hasratku ini.

"Benar ustazah. Saya tak main-main," 

Bagaimana aku boleh bermain dengan keputusanku lagi. Aku telah jatuh cinta. Cinta yang sering membuat aku merana siang dan malam kerana tidak dapat meluahkannya. Cinta yang aku takuti akan hilang dan tidak dapat memilikinya.

"Tapi macam mana dengan mama dan papa Jane?"

Aku tertunduk mendengar soalan itu. Bibirku terkatup rapat. Bisu. Bohonglah aku jika aku mengatakan bahawa aku langsung tidak memikirkan mereka. Aku juga ingin mereka berasa bahagia dengan pilihan hatiku ini. 

"Macam inilah Jane, apa kata kalau Jane fikir-fikir dulu akan keputusan Jane ini. Mantapkan keputusan Jane. Perkara ni perkara serius. Soal masa depan Jane. Mama dan papa Jane mesti tahu,"

"Tapi ustazah, saya tak boleh tunggu lama lagi. Saya dah nekad. Tolonglah saya ustazah. Sudah bertahun-tahun saya mengunci keinginan saya ini. Janganlah ustazah risau tentang mama dan papa. Suatu saat nanti saya pasti akan beritahu mereka," aku mencelah sebelum sempat Usazah Fatini menyambung kalamnya. Iman yang dari tadinya mendengar bicara kini menggenggam erat jari-jemariku seolah-olah ingin memberi semangat dan dorongan kepadaku.

"Baiklah Jane. Kalau itu adalah terbaik buat Jane, ustazah akan bantu Jane. Petang ni kita jumpa Ustaz Qayyum untuk sediakan apa yang patut. Jane jangan bimbang. Ustazah pasti akan bantu Jane. Kawan-kawan Jane pun ada untuk membantu," Ustazah Fatini menepuk lembut bahuku. Bibirku menguntum senyuman manis seperti hatiku yang berbunga bahagia.













No comments:

Post a Comment