Pages

Sunday, October 24, 2010

Manjaku Pada Insan Yang Telah Tiada

Assalamualaikum semua..


Ahad yang indah kan jadi aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar di taman. Tak tahu pulak nama taman tu. Indahnya baru pertama kali aku melihatnya. Kicauan burung dan desiran bayu mengelus lembut halwa pendengaranku. Tenang. Alhamdulillah.


Sedang asyik aku menjamah jamuan alam ini tiba-tiba kelihatan seseorang yang sangat kukenal. Seseorang yang sering bermain di kotak mindaku. Kelihatan dia begitu asyik melayan kerenah seorang budak perempuan. Sekejap kutatap wajah budak itu. Ya. Dia adik bongsuku. Air mata mula bergenang di tubir mata. Kutahan saja sekuat hatiku. Tanpa sedar, laju saja perkataan 'Abah' kulaungkan. ABAH!!!


Aku berlari sekuat hati menuju ke arah lelaki yang amat biasa di ingatanku ini. Aku terpaku. Tanpa lisan, tanpa kalam hanya isyarat mata yang mendendangkan kerinduan. Rupanya ABAHku tengah asyik menghiburkan adikku di sini. Dan tanpa sengaja aku bertemu mereka di taman ini. 


Seketika, aku dapat merasakan jari-jemariku di elus penuh kasih sayang dengan jari-jemarinya yang kasar itu. Ya. Aku sangat mengenali jemari itu. Sudah lebih 7 tahun aku tidak merasa sentuhan ABAH itu. Rinduku bukan pula terubat, malah semakin rindu. Rindu yang tak mampu diucapkan hanya dengan kata-kata. Tidak ada pena yang mampu meninta bahasa kerinduan dua beranak ini.


Lantas elusan itu kubalas jua. Tidak ada kalam. Tidak ada perbualan. Hanya pembicaraan hati yang menggunakan isyarat jiwa. Namun, pada wajah yang tua itu dapat kulihat senyuman indah tersunngging pada bibirnya. Senyuman yang masih segar seperti 7 tahun lepas. Syukur ya Allah. KAU telah pertemukan aku dengan insan yang sangat kurindu selama ini. Jari-jemari aku dan ABAH tersulam erat. Bagai tiada tanda untuk terlerai. Biarlah. Tidak juga ingin kuleraikan. 


Satu kucupan singgah ke pipi kananku. Kucupan yang masih basah pada daun memori. Jari-jemari kami semakin erat. Malah aku telahpun hanyut dibuai kerinduan sehingga aku merasa dunia ini hanya kami berdua yang ada. 


Tiba-tiba satu suara menerpa dari belakang seolah-olah menamparku dari terus hanyut di alam maya. Aku menoleh. Oh Ummi rupanya. 


"Yakinkah kamu itu adalah ABAHmu?" laju sahaja pertanyaan ummi.


Dan aku hanya mengangguk lantas kuhamburkan semua air mataku di pundak ummi. Pinjamkan aku bahumu ummi untuk kesekian kalinya. Tidak perlu aku menjawab soalanmu itu ummi. Sesungguhnya kau tahu bahawa jasad lelaki tua itu memang adalah benar-benar ABAHku. Air mataku terus saja mengalir membasahi bahu ummi bagai tiada petanda untuk berhenti. Dalam masa yang sama genggaman tangan ayah semakin kejap. Tautan jiwa kami semakin kukuh. Mana mungkin itu bukan ABAHku.


Aku menangis semahu-mahunya. ABAH, marilah engkau temankan aku yang merindui kasihmu bertahun-tahun. Dengarlah ceritaku yang penuh suka dan duka selepas engkau pergi. Ingin aku mengadu padamu tentang kenakalan teman-temanku yang suka menjahatiku di awal pemergianmu. Ingin aku ceritakan tentang kebaikan sahabat-sahabatku yang menerima aku seadanya selepas kau pergi ABAH. Biarkan aku lakukan semua itu di ribamu seperti dulu ketika kau mendongengkan kisah.




Kenyataan yang pahit kutelan jua. Bahu ummi semakin erat dalam pelukanku. Jari-jemari ABAH semakin kejam dalam sulaman jemariku. Dalam aku terhanyut. Dalam aku dilema. Dalam aku merindu. Tiba-tiba terdengar bunyi loceng yang kuat. Bunyi itu laju saja membunuh tangisku. Bunyi itu laju saja melerai tautan tanganku. Dalam kelam aku mencari-cari dari mana datangnya bunyi itu. Alarm clock rupanya. 


Dengan sisa tangisan aku terkejut. Bahu ummi yang tadinya tempat aku melabuhkan air mataku telah bertukar menjadi bantal yang telahpun basah. Jari-jemari kasar yang kugenggam erat tadinya telah bertukar menjadi patung putih peneman lenaku. Ya Allah. Dalam sendu yang masih tersisa aku beristighfar panjang. Rupanya aku menangis dalam tidurku. Nasib baik saja teman sekamarku juga belum bangkit dari lenanya.


Kurakamkan tarikh hari ini. Mimpi tadi masih terus menjadi memori bahagia buatku. Terima kasih ALLAH kerana KAU meminjamkan aku ABAHku hari ini walau hanya dalam mimpi. Terima kasih ALLAH kerana KAU pernah meminjamkan ABAHku selama 11 tahun. Dan terima kasih ALLAH kerana KAU telah mengambilnya kembali dengan cara yang begitu sempurna. Alhamdulillah.


~KULLU NAFSIN ZAAA'IQATUL MAUT~


p/s Walaupun abah sudah tiada. Namun abah sentiasa segar di hati dan mindaku. Tarbiyahnya yang terbiasa di hatiku menjadikan aku hari ini. Aku rindu padamu ABAH.


Wallahuta'ala a'lam.

No comments:

Post a Comment