Pages

Sunday, October 31, 2010

Mencari Sakinah 6

Pawana kelambaja hari itu sungguh menenangkan. Hatiku semakin tenang menghadapi kehidupan baruku ini. Cuma aku harap suatu saat nanti mama dan papa mahu menerima cara hidup yang benar. Islam. Sungguh hanya itu yang aku harapkan di dunia ini. Dapat hidup dengan tenang bersama mama dan papa dalam suasana Islam pada keseluruhannya.


"Assalamualaikum Wardah Sakinah. Apa yang ditenungkan itu?" aku terkejut. Segala lamunanku juga bertempiaran entah ke mana.


Aku tersenyum. Terpegun seketika. Sepasang suami isteri berdiri menghadapku. Penampilan yang cukup Islamik. 'Wardah Sakinah'. Setelah sekian lamanya aku menanti untuk menggunakan nama baruku itu  baru hari ini aku di gelar dengan nama itu. Alhamdulillah. 


"Eh! Mama. Papa. Dari mana ni?"


"Dari pejabat agama Sakinah," terasa kekok pula aku dengan nama baruku itu. Mama tersenyum riang. Begitu juga dengan papa yang ada di sisi.


"Buat apa?" aku bertanya seperti anak kecil. Hairan.


"Sakinah ni tanya pula. Ingat Sakinah seorang sajakah yang nak masuk Islam?" Papa menyoal kembali dan terus tersenyum mekar semekar wardah di laman hadapan rumah kami.


Malam itu merupakan malam yang paling bermakna buatku. Aku mengangkat kaki ke bilik air. Aku mengambil wudhu' dengan tenang sekali. Mudah-mudahan wudhu' ini mampu membasuh dosa-dosaku yang terdahulu, kini, dan yang akan datang. Aku ingin menghamparkan nasuhahku di hadapanNYA malam itu. Biarlah aku merafa'kan cintaku padaMU ke tempat yang paling agung yang selayaknya untukMU. Malam itu, bersama sinarnya rembulan dan kerdipnya sang bintang, aku dapat merasakan sakinah yang luar biasa. Bibir dan jiwaku berwirid panjang. Tanpa sedar, perlahan-lahan mataku terkatup. Rebah bersama shahadah.


Wallahuta'ala a'lam.

Mencari sakinah 5

Azan subuh berkumandang membuatkanku terjaga. Terasa seluruh anggota badanku sakit. Tidak. Bukan. Jiwa dan ragaku juga sakit. Aku mencari-cari kain sarung yang boleh kujadikan kain sembahyang. Langkahku masih lagi lemah. Dengan langkah yang berhati-hati aku mengambil wudhu'. Pedih. Ingin saja aku menjerit kesakitan. Luka di kepala dan di bibir terasa pedih. Tidak. Aku tidak boleh mengalah. Akhirnya selesai jua kusempurnakan air sembahyangku. 


Aku membentangkan sejadah betul-betul menghadap kiblat. Kemudian takbir kuangkat dengan penuh tertib. Keperitan yang kurasakan bukan alasan untukku menghangatkan asmaraku dengan yang Maha Esa. Air mataku mengalir lagi. Malah semakin deras. Aku seperti anak kecil yang minta dipujuk. Kuluahkan segala yang ada di hati di hadapan sang Pencipta. Belumpun sempat aku memberi salam deringan telefon di ruang tamu memecah keheningan subuh. Setelah memberi salam aku segera mendapatkannya.


"Ya saya Jane. Ada apa?" aku menanyakan tujuan pemanggil itu. Entah kenapa aku berasa tidak sedap hati. Rusuh dan ruwet seketika duniaku.


"Apa? Di mana? Baiklah saya datang," panggilan dari hospital membuatkan tangkai jantungku seolah-olah tercabut dari tempat persemadiannya. Tanpa sedar air mataku gugur lagi tanpa diundang. Memang benar kata orang. Air matalah sahabat yang paling setia.


Aku mendail nombor Ustazah Fatini. Beberapa minit kemudian ustazah datang menjemputku di rumah. Ustazah memandu Proton Wiranya ke hospital. Aku perlu segera sampai. Mama dan papa kemalangan. Ya Allah. Selamatkanlah mereka.


Di hospital aku telah diberitahu bahawa punca kemalangan tidak diketahui. Pihak polis juga bingung memikirkannya. Mereka tidak menemui sebarang kerosakan pada kereta yang dipandu papa. sebarang tanda bahawa kereta tersebut melanggar atau dilanggar sesuatu juga tidak ada. Mama dan papa juga tidak tercedera. Tetapi hairannya masih juga tidak sedarkan diri. 


"Maaf Cik. Tapi saya benar-benar bingung. Saya tak tahu rawatan apa yang perlu saya beri kepada ibu bapa cik. Mereka langsung tidak tercedara di luar dan di dalam. Semuanya normal. Sebagai doktor saya hanya menyediakan rawatan berasaskan teori dan sains. Kes semacam ini saya sarankan cik menggunakan alternatif lain yang lebih tradisional," Doktor Khairul memberikan penjelasannya dengan serius dan bersungguh-sungguh.


Pagi itu juga aku mengambil keputusan membawa mama dan papa pulang ke rumah. Dengan bantuan Ustazah Fatini dan Ustaz Qayyum, aku mencari dan mencuba pelbagai jenis rawatan untuk menyembuhkan mama dan papa.Namun, tidak ada satu pun yang memberi kesan positif. Duniaku semakin celaru. Bagi perempuan yang hanya berusia 17 tahun sepertiku, agak berat aku berhadapan dengan ujian sebegini. 'Bantu hambaMU ini ya Allah.' 


Kehadiran teman-teman sekolahku sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegusaran kalbuku. Bisikan kata-kata semangat mereka juga umpama air zamzam yang menghilangkan kehausanku di tengah padang pasir. Bertuahnya aku dikelilingi manusia yang menghamparkan cinta kepadaMU. Ini membuatkan aku bertambah kuat untuk mencintaiMU.


*****

Hari yang berlalu terus saja berlalu tanpa menoleh lagi. Debu-debu masa diterbangkan angin semalam. Kini sudah hampir sebulan mama dan papa tidak sedarkan diri. Masih segar diingatnku peristiwa di hospital tempoh hari. Pihak polis menemui telekung dan al-Quran di dalam kereta. Aneh. Ke mana hendaknya dibawa semua itu? 

Aku melupakan sebentar semua persoalanku itu. Aku ingin memberi sepenuh perhatian terhadap mama dan papa. Setiap malam aku tidak lupa untuk mengalunkan ayat suci Kalamullah di sisi mama dan papa. Biarlah kelak ayat-ayat ini meresap ke jiwa dan sanubari orang tuaku. 

Entah bila mataku terlelap. Aku dapat merasakan usapan lembut membelai dahiku. Perlahan-lahan aku membuka mata. Mama dan papa telahpun sedar. Aku memeluk mereka berdua seeratnya. Tahukah kalian aku merindui kalian. Mama dan papa. Alahamdulillah. Segala puji bagiMU Tuhan.

Mencari Sakinah 4

Papa terpaku berdiri di ambang pintu kamarku. 


"Apa ini?" papa menengking lagi. Belum pernah aku melihat papa segarang itu. Aku terus saja membisu. Entah jawapan apa yang harus kuberi. Takut nanti tersalah bicara papa semakin marah. 


"Hei Jane. Papa tanya ni. Apa semua ni? Sejak bila Jane lakukan semua ni? Jawab Jane," papa mengulangi soalannya yang belum kujawab. Kecut perutku melihat wajah papa. Bagai singa kelaparan yang bersedia menerkam mangsanya bila-bila masa sahaja. 


"Jawablah Jane. Papa tanya tu," giliran mama pula menyoal.


"Mama...papa... Jane bukan seperti dulu lagi. Jane...Jane...dah...masuk Islam," paaaaaaaaaap!!! Aku menelan liur. Sepantas kilat aku mengusap-usap pipku. Pedih. Satu tamparan hebat dari papa berlabuh di pipi kananku. Seketika terasa seperti cecair merah mngalir setitik demi setitik.


Kukira papa akan mengasihani aku. Tetapi sangkaanku jauh meleset. Ternyata papa belum juga berpuas hati. Dengan kudrat yang papa miliki, papa memaksaku menanggalkan telekung putih yang menyarung tubuhku dari tadi. Tidak cukup dengan itu, al-Quran pemberian Farah, teman sekelasku disambar daripada pelukanku. Lantas aku terdorong dan terjatuh mencium lantai.


"Papa jangan. Itu Jane punya. Papa tolonglah. Jangan ambil. Jane perlukan semua itu," aku merintih meminta belas dari insan yang bernama ayah sambil berpaut di kakinya.


"Binatang! Dari kecil aku bela kau ini yang kau balas? Anak derhaka. Bagus. Kau jangan harap aku biarkan kau memalukan aku. Aku bunuh kau Jane!" sekali lagi tamparan kuat papa menghinggap ke pipi   kananku yang masih berdarah. Aku berpaut kembali pada kaki papa. Biarlah. Biarlah dia memukulku. Aku sudah tidak kidah lagi. Apa yang benar akan aku pertahankan.


"Papa bunuhlah Jane sekarang. Jane takkan berganjak dari keputusan Jane. Bunuhlah Jane papa. Bunuhlah anak papa ni," tuturku perlahan ditenggelami esak tangis seorang hamba yang mencintai Penciptanya dan sendu seorang anak yang mencintai ibu bapanya.


"Diam! Kau jangan cabar aku Jane. Kau ingat aku tak berani?" penampar papa menjadi habuan. Tapi kali ini di pipi kiriku pula. Kuat. Aku terdorong dan kepalaku terkena bucu katil. Ya Allah, sakitnya. Deritanya. Apakah begini beratnya sengsara insan terdahulu yang ingin mempertahankan syiarMU? Ataukah lebih berat daripada ini? Sungguh berbisa bagi seorang perempuan yang bertubuh kecil sepertiku ini. 


Dengan kudrat yang ada aku mendongak. Kulihat air mata mama jatuh berlinangan. Aku mencium kaki mama. Bukan niatku untuk menderhakai mama dan papa. Bukan niatku untuk menyakiti jiwa kalian. Sungguh aku sangat mencintai kalian. Dalam hati aku berbisik sayu 'mama...peluklah anak mama ini seperti mama memeluknya dahulu. Pujuklah anak mama ini sepertimana mama memujuk rajuknya dahulu. Kesatlah air mata anak mama ini dengan ibu jarimu seperti mama mengesat air matanya ketika dia kesedihan dahulu.'


"Jane anak mama," mama memelukku erat seolah-olah memahami isyarat jiwaku ini. Kami bersatu dalam pelukan dua jiwa. Tangisan kami juga bersatu mengalunkan melodi sendu malam itu.


Aku cuba menahan segala kesakitan dan keperitan. Sedaya upaya membuka mata menatapi wajah redup sang ibu. Semampu mungkin aku menguatkan diriku. Namun apakan daya, akhirnya aku rebah jua. Sudah tidak menyedari apa yang berlaku saat itu. Hanya yang jelas kedengaran raungan mama dan cacian papa. 

Mencari Sakinah 3

Dengan hati yang berdebar, aku diam bersimpuh di sisi Iman, Ustazah Fatini dan teman-teman yang lain. Gelora di hati ini sedaya upaya aku redakan. Aku menggenggam tangan Iman yang juga bersimpuh di sisiku. Dari jarak yang tidak berapa jauh, aku dapat melihat Ustaz Qayyum duduk bersila sambil membetulkan kopiah di kepalanya. Tanpa sengaja pandanganku jatuh pula kepada Fitri. Dia tersenyum padaku. Lucukah dia melihat keadaanku ini. Aku semakin berdebar menanti saat itu. Penghawa dingin yang di pasang di dalam surau ini juga tidak mampu menyejat peluh yang mula mengalir di dahiku. Dan Fitri terus saja tersenyum.


"Asyhadu alla ilaaha illallah wa asyhadu anna muhammadar rasulullah," tenang saja aku mengucapkan kata-kata syahadah ini. Gembira yang tak mampu diungkap dengan lidah dan lisan. Tanpa sedar air mataku menitis seperti mutiara putih. Alhamdulillah. Aku berikrar dalam hati. Tidak akan aku perjapakkan nikmat Islam dan Iman yang kumiliki kini.


Teman-teman yang menjadi saksi pengislamanku bergilir-gilir mengucapkan tahniah dan selamat datang. Tidak terkecuali Fitri, ketua persatuan Islam sekolah merangkap Imam sekolah. Fitri yang selalu melaungkan azan yang menenangkan dan membuat aku jatuh cinta pada Islam juga pada Rabbul Haq. Sungguh aku berasa tenang selesai saja kalimah syahadah aku tuturkan. Aku dapat merasakan sakinah yang kucari selama ini.


*****

Aku melabuhkan punggung di birai katil. Aku melihat kembali pemberian Ustazah Fatini petang tadi. Hatiku berbunga tatkala melihat buku yang bercorak islamik berwarna hijau. Inilah buku yang dibaca oleh Iman tempoh hari. Aksara-aksara yang tersusun berbunyi 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' sekaligus memaudhu'kan buku ini. Sesaat kemudian, aku ternampak pula sepasang telekung dan sehelai sejadah. Tidak smena-mena air mataku gugur lagi. Dadaku sebak. Bila agaknya aku dapat menggunakan telekung dan sejadah ini?

*****



Kincir waktu terus berputar. Kini genap lima bulan aku menjadi seorang muslimah. Segala-galanya masih lagi rahsia. Bukan kepada guru-guruku. Bukan juga kepada teman-temanku. Tapi kepada mama dan papa. Aku masih lagi mengumpul kekuatan dan keberanian untuk berterus terang.


Ilmu dan pengetahuan agama juga telah banyak aku perolehi. Sekarang aku sudah mampu membaca surah al-Fatihah. Sudah boleh mengenal huruf-huruf kitab al-Quran. Aku juga sudah boleh solat sendiri walaupun semuanya masih bertatih. Iman yang menyemarak di jiwa ini selalu mengundang keajaiban. Hasil kesungguhanku dan hasil bantuan Allah, aku mampu mempelajari semuanya dengan pantas.


Malam itu aku membaca kitab yang ditinta oleh Allahyarham Ustaz Fathi Yakan. Kitabnya 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam' adalah kitab yang diberikan oleh Ustazah Fatini lima bulan lepas. Sudah dua kali aku khatam buku ini. Satu-satu isinya kubaca dengan mafhum.


Malam semakin pekat menghitam. Sayup-sayup lagu nasyid 'Menanti di Barzakh' kedengaran dari corong radio. Tapi tidak pula kupasti siapa munsyidnya. Gerun hatiku setiap kali mendengar lagu ini. Tiba-tiba hatiku tergerak untuk menunaikan solat sunat seperti yang di ajar oleh Iman. Biarlah aku melabuhkan cintaku pada Rabbul 'Izzati.


Di atas tikar baldu ini, aku bersimpuh dan berwirid panjang. Kumohon do'a dan pengharapan agar diampunkan dosa. Di samping bermohon agar diriku diberi ketabahan dan ketakwaan dalam menempuh pancaroba duniawi. Setelah itu aku merafa'kan cinta agungku dengan mengalunkan pula kalam suci al-Quran. Meskipun segala-galanya masih belum lancar aku tidak peduli. Biarlah aku menjamah sekenyang-kenyangnya sakinah malam itu.


"Jane!!!"


Satu suara yang amat biasa di halwa pendengaranku. Perlahan-lahan aku menoleh ke arah dari mana datangnya suara itu. Angin gemuruh di hatiku bertiup kencang sekencang Ribut Katrina. 'Ya Allah, berikan aku kekuatan.'

Mencari Sakinah 2

"Azan. Laungan itu namanya Azan. Dan orang yang melaungkannya adalah bilal." Halawatul Iman memberikan penjelasannya kepadaku sebelum memusatkan kembali pandangan matanya kepada ayat-ayat yang tersusun pada buku hijau yang dipegangnya.

"Oh! Tapi kenapa azan mesti dilaungkan sebelum kamu sembahyang?" Tanyaku lagi sambil mengingat kembali apa yang kulihat dan dengar semalam ketika  aku melangkah ke masjid berkubah biru itu tanpa sedar.

"Jane, sebenarnya azan adalah satu lafaz khusus yang diamalkan oleh orang-orang Islam sebagai tanda untuk menyatakan masuknya waktu solat fardhu supaya orang-orang mukmin boleh diseru agar mereka bergesa berkumpul mengerjakan solat fardhu. Jadi, sebab itulah azan mesti dilaungkan sebelum mendirikan solat," jelas Iman panjang lebar. Aku mengangguk laju sambil meneliti tajuk buku yang dipegang oleh Iman sepanjang perbualan kami. Menarik. Tapi malu aku untuk meminjamnya. Dalam hati aku berasa kagum melihat Iman. Mungkin dengan membaca buku-buku seperti itu dia dapat bertemu sakinah yang dicarinya.

Aku semakin nekad. Ya. Esok adalah harinya.

*****
Pagi itu aku melangkah ke sekolah seperti biasa. Cuma hari ini aku lebih tekad. Aku harus melakukannya. Sudah tidak tertahan keinginanku ini. Aku yakin dengan keputusanku. Apapun natijahnya nanti akan kuhadapi dengan hati yang tabah. Lantas aku menyuarakan keinginanku kepada Iman setelah bertemu dengannya. Aku tahu dia akan menolongku kerana dia satu-satunya sahabat yang boleh aku percayai.

"Alhamdulillah. Benarkah Jane? Baguslah kalau macam tu. Saya gembira dengan keputusan awak tu. Tapi benarkah awak dah bersedia?"

"Iman, saya tak pernah seyakin ini. Awak sudikan membantu saya?"

"Kenapa tidak sahabatku,"

Setelah bunyi loceng berteriakan, aku segera menarik tangan Iman. Kami melangkah beriringan ke bilik guru. Hatiku semakin berdebar. Peluh hangat membasahi dahi dan tapak tanganku. Dalam hati aku bertanya apakah mama dan papa akan memarahiku jika mereka tahu apa yang telah aku lakukan. Tidak. Aku harus bersedia. Aku akan bertanggungjawab atas keputusanku ini. Dengan cara inilah aku dapat menemui ketenangan yang sudah bertahun-tahun kucari. Mataku melilau mencari kelibat Ustazah Fatini. Tidak Sabar.

"Hah! Benarkah Jane? Alhamdulillah. Ustazah tidak keberatan untuk membantu Jane. Insyaallah ustazah akan bantu dengan ilmu dan keupayaan yang ustazah ada," Ustazah Fatini seolah-olah terkejut mendengarkan hasratku ini.

"Benar ustazah. Saya tak main-main," 

Bagaimana aku boleh bermain dengan keputusanku lagi. Aku telah jatuh cinta. Cinta yang sering membuat aku merana siang dan malam kerana tidak dapat meluahkannya. Cinta yang aku takuti akan hilang dan tidak dapat memilikinya.

"Tapi macam mana dengan mama dan papa Jane?"

Aku tertunduk mendengar soalan itu. Bibirku terkatup rapat. Bisu. Bohonglah aku jika aku mengatakan bahawa aku langsung tidak memikirkan mereka. Aku juga ingin mereka berasa bahagia dengan pilihan hatiku ini. 

"Macam inilah Jane, apa kata kalau Jane fikir-fikir dulu akan keputusan Jane ini. Mantapkan keputusan Jane. Perkara ni perkara serius. Soal masa depan Jane. Mama dan papa Jane mesti tahu,"

"Tapi ustazah, saya tak boleh tunggu lama lagi. Saya dah nekad. Tolonglah saya ustazah. Sudah bertahun-tahun saya mengunci keinginan saya ini. Janganlah ustazah risau tentang mama dan papa. Suatu saat nanti saya pasti akan beritahu mereka," aku mencelah sebelum sempat Usazah Fatini menyambung kalamnya. Iman yang dari tadinya mendengar bicara kini menggenggam erat jari-jemariku seolah-olah ingin memberi semangat dan dorongan kepadaku.

"Baiklah Jane. Kalau itu adalah terbaik buat Jane, ustazah akan bantu Jane. Petang ni kita jumpa Ustaz Qayyum untuk sediakan apa yang patut. Jane jangan bimbang. Ustazah pasti akan bantu Jane. Kawan-kawan Jane pun ada untuk membantu," Ustazah Fatini menepuk lembut bahuku. Bibirku menguntum senyuman manis seperti hatiku yang berbunga bahagia.













Thursday, October 28, 2010

Mencari Sakinah 1

Assalamu'alaikum sahabat-sahabat fillah. Bagaimana khabarnya hati dan minda kalian? Alhamdulillah. Allah SWT senantiasa cinta kepada kita. Ingin kucoretkan sesuatu sebagai juadah rohani kita semua hari ini.


Sesuai dengan maudhu'nya, tanpa pena, tanpa dakwat juga tanpa sehelai kertas kupilih tajuk yang sangat mengusik imanku sejak akhir-akhir ini. Dimana tajuk ini kudapati ketika mengikuti slot tazkirah semasa jamuan raya yang lepas bersama keluarga Persatuan Belia Muslim (PBM) dan keluarga kolej, mihrabku menuntut ilmu. "MENCARI SAKINAH". Tercetus pada ilhamku yang dikurniakan Allah untuk menjadikan tjuk ini sebuah cerita cinta. Mungkin cerita ini tidaklah sehebat cerita SALJU SAKINAH karya Zaid Akhtar. Mungkin bukan juga seindah wajah wanita yang bernama SAKINAH. Tetapi insyaAllah yang terbaik juga kuberikan untuk kalian.


Jarum jam kuperhatikan telahpun berhenti di angka tujuh. Aku meluru ke beranda rumah. Entah mengapa hatiku girang melihat orang-orang yang berbaju melayu dan bertudung labuh berwarna putih itu. Kemas dan ayu tanpa ada sebarang kecacatan. Beriringan ke masjid dengan wajah yang begitu tenang dan asyik. Seketika, kedengaran sayup-sayup laungan kuat dari arah masjid yang berkubah biru itu. Hairan dan aneh. Mengapa aku dapat merasakan sesuatu yang tenang dan mendamaikan setiap kali mendengarnya? Tanpa sedar, kakiku melangkah seiring dengan mereka. Ke arah tujuan yang sama. 

Beberapa minit berlalu, aku asyik melihat mereka di dalam masjid itu. Pergerakan yang sama. Penghadapan yang sama. Pembacaan yang sama. Tanpa resah, kulihat mereka begitu tenang dengan apa yang dilakukan mereka. Mungkin lebih tenang daripada aku yang hanya melihat. Tiba-tiba, kumerasakan sesuatu yang hangat mengalir di pipiku. Ya. pengharapan dan hajat yang diterjemahkan dalam do'a serta tadahan tangan yang tidak pernah lelah benar-benar menyentuh hatiku dengan cara yang luar biasa sekaligus ku merasakan sakinah yang kucari selama ini. Namun aku bingung, pada siapa harus aku sembahkan rasa syukur ini?


Notakaki : InsyaAllah. Beginilah ceritanya untuk episod yang pertama ini. Akan bersambung esok atau lusa atau tulat jika dipanjangkan umur. Sebenarnya penat dah jari ni menari-nari di atas keyboard. Jadi kusengajakan untuk meringkaskan cerita untuk hari ini. Maaf atas kekurangan. Wallahuta'ala a'lam.

Monday, October 25, 2010

Aku sudah Bertunang..Semakin Hampir Dgn Pernikahan..

Assalamualaikum semua. Semoga sentiasa dipayungi rahmat Allah dari teriknya godaan syaitan dan dari lebatnya hujan nafsu. InsyaAllah.


Tiba-tiba hatiku tergerak untuk mencoretkan sesuatu tentang diriku atau mungkin tentang kita semua. Apa yang pasti, aku juga seperti kalian, bergetar hatiku bila mendapat tahu aku telah ditunangkan dengan seseorang. Gemuruh menanti saat pernikahan.


Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.

Aku hanya seorang gadis. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang hamba yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat ku memakai cincin di kedua tangan di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian.

Ummi bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?"

Aku menjawab tenang..

"Warna putih, bersih..."

"Alhamdulillah, ummi akan usahakan dalam tempoh terdekat."

"Ummi, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."

Ummi angguk perlahan.

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh sanubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului.

"Kak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.

"Insya Allah, dia tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama."

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.

"Jangan lupa jemput saya di hari menikahnya, jangan lupa!"

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan dia yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.

"Bila awak menikah?"

Aku tiada jawapan khusus.

"Insya Allah, tiba waktunya nanti awak akan tahu..."

Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.

"Jemput saya tau!"

Anis tersenyum megah.

"Kalau awak tak datang pun saya tak berkecil hati, doakan saya banyak-banyak!"

Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati.

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada Ummi...

"Usah berlebihan ya..."

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.

"Jom makan!"

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.

"Sila-sila, saya puasa."

Sahabiah juga semakin galak mengusik.

"Wah, diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.

.......................................

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..."

"Tenangnya... Subhanallah. Allahuakbar."

"Ya Allah, tenangnya..."

"Moga Allah memberkatinya...."
Allah, itu suara sahabat-
sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.


Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah.Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum.Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.

Dalam sedar tidak sedar...

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu.

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..."

Akhirnya, Anis bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...

"Munawarah bertunang dengan siapa, mak cik?"

Ummi tenang menjawab...


"Dengan kematian wahai anakku.Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, dia hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh."
"Allahuakbar..."

Terduduk Anis mendengar, air matanya tak mampu ditahan.

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..."

Ummi mengangguk, tersenyum lembut...


"Ini nak, bukunya."

Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.

"Ya Allah, patut la dia selalu menangis.. Anis tak tahu mak cik."

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu dia mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."

Anis masih kaku. Tiada suara yang terlontar.


************************************

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta."

** Cukuplah kematian itu mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.**






P/S Kisah ini bukanlah asli coretanku. Tujuanku menyimpannya di ruangan ini adalah untuk menjadi santapan minda dan rohani kita. Alhamdulillah. Penulis asal cerita ini telah membuatkan aku tersedar tentang diri ini dan kematian yang semakin hampir.

Wallahuta'ala a'lam

Sunday, October 24, 2010

Manjaku Pada Insan Yang Telah Tiada

Assalamualaikum semua..


Ahad yang indah kan jadi aku mengambil keputusan untuk bersiar-siar di taman. Tak tahu pulak nama taman tu. Indahnya baru pertama kali aku melihatnya. Kicauan burung dan desiran bayu mengelus lembut halwa pendengaranku. Tenang. Alhamdulillah.


Sedang asyik aku menjamah jamuan alam ini tiba-tiba kelihatan seseorang yang sangat kukenal. Seseorang yang sering bermain di kotak mindaku. Kelihatan dia begitu asyik melayan kerenah seorang budak perempuan. Sekejap kutatap wajah budak itu. Ya. Dia adik bongsuku. Air mata mula bergenang di tubir mata. Kutahan saja sekuat hatiku. Tanpa sedar, laju saja perkataan 'Abah' kulaungkan. ABAH!!!


Aku berlari sekuat hati menuju ke arah lelaki yang amat biasa di ingatanku ini. Aku terpaku. Tanpa lisan, tanpa kalam hanya isyarat mata yang mendendangkan kerinduan. Rupanya ABAHku tengah asyik menghiburkan adikku di sini. Dan tanpa sengaja aku bertemu mereka di taman ini. 


Seketika, aku dapat merasakan jari-jemariku di elus penuh kasih sayang dengan jari-jemarinya yang kasar itu. Ya. Aku sangat mengenali jemari itu. Sudah lebih 7 tahun aku tidak merasa sentuhan ABAH itu. Rinduku bukan pula terubat, malah semakin rindu. Rindu yang tak mampu diucapkan hanya dengan kata-kata. Tidak ada pena yang mampu meninta bahasa kerinduan dua beranak ini.


Lantas elusan itu kubalas jua. Tidak ada kalam. Tidak ada perbualan. Hanya pembicaraan hati yang menggunakan isyarat jiwa. Namun, pada wajah yang tua itu dapat kulihat senyuman indah tersunngging pada bibirnya. Senyuman yang masih segar seperti 7 tahun lepas. Syukur ya Allah. KAU telah pertemukan aku dengan insan yang sangat kurindu selama ini. Jari-jemari aku dan ABAH tersulam erat. Bagai tiada tanda untuk terlerai. Biarlah. Tidak juga ingin kuleraikan. 


Satu kucupan singgah ke pipi kananku. Kucupan yang masih basah pada daun memori. Jari-jemari kami semakin erat. Malah aku telahpun hanyut dibuai kerinduan sehingga aku merasa dunia ini hanya kami berdua yang ada. 


Tiba-tiba satu suara menerpa dari belakang seolah-olah menamparku dari terus hanyut di alam maya. Aku menoleh. Oh Ummi rupanya. 


"Yakinkah kamu itu adalah ABAHmu?" laju sahaja pertanyaan ummi.


Dan aku hanya mengangguk lantas kuhamburkan semua air mataku di pundak ummi. Pinjamkan aku bahumu ummi untuk kesekian kalinya. Tidak perlu aku menjawab soalanmu itu ummi. Sesungguhnya kau tahu bahawa jasad lelaki tua itu memang adalah benar-benar ABAHku. Air mataku terus saja mengalir membasahi bahu ummi bagai tiada petanda untuk berhenti. Dalam masa yang sama genggaman tangan ayah semakin kejap. Tautan jiwa kami semakin kukuh. Mana mungkin itu bukan ABAHku.


Aku menangis semahu-mahunya. ABAH, marilah engkau temankan aku yang merindui kasihmu bertahun-tahun. Dengarlah ceritaku yang penuh suka dan duka selepas engkau pergi. Ingin aku mengadu padamu tentang kenakalan teman-temanku yang suka menjahatiku di awal pemergianmu. Ingin aku ceritakan tentang kebaikan sahabat-sahabatku yang menerima aku seadanya selepas kau pergi ABAH. Biarkan aku lakukan semua itu di ribamu seperti dulu ketika kau mendongengkan kisah.




Kenyataan yang pahit kutelan jua. Bahu ummi semakin erat dalam pelukanku. Jari-jemari ABAH semakin kejam dalam sulaman jemariku. Dalam aku terhanyut. Dalam aku dilema. Dalam aku merindu. Tiba-tiba terdengar bunyi loceng yang kuat. Bunyi itu laju saja membunuh tangisku. Bunyi itu laju saja melerai tautan tanganku. Dalam kelam aku mencari-cari dari mana datangnya bunyi itu. Alarm clock rupanya. 


Dengan sisa tangisan aku terkejut. Bahu ummi yang tadinya tempat aku melabuhkan air mataku telah bertukar menjadi bantal yang telahpun basah. Jari-jemari kasar yang kugenggam erat tadinya telah bertukar menjadi patung putih peneman lenaku. Ya Allah. Dalam sendu yang masih tersisa aku beristighfar panjang. Rupanya aku menangis dalam tidurku. Nasib baik saja teman sekamarku juga belum bangkit dari lenanya.


Kurakamkan tarikh hari ini. Mimpi tadi masih terus menjadi memori bahagia buatku. Terima kasih ALLAH kerana KAU meminjamkan aku ABAHku hari ini walau hanya dalam mimpi. Terima kasih ALLAH kerana KAU pernah meminjamkan ABAHku selama 11 tahun. Dan terima kasih ALLAH kerana KAU telah mengambilnya kembali dengan cara yang begitu sempurna. Alhamdulillah.


~KULLU NAFSIN ZAAA'IQATUL MAUT~


p/s Walaupun abah sudah tiada. Namun abah sentiasa segar di hati dan mindaku. Tarbiyahnya yang terbiasa di hatiku menjadikan aku hari ini. Aku rindu padamu ABAH.


Wallahuta'ala a'lam.