Pages

Tuesday, August 17, 2010

Ketika Hujan

Assalamualaikum..

      Jarum jam menunjuk ke angka 11, manakala jarum minitnya pula mengarah ke engka 4. Tepat pukul 11.20 malam. Segala tanggungjawab yang kupikul menuntut amanahku sebagai seorang pelajar, anak, kakak, kawan, juga sebagai seorang 'abdu. Amanah yang menjadi komitmenku juga menuntut pengorbanan. Manis rasanya apabila aku mampu menjalankan semua tuntutan itu bersama cinta Allah S.W.T. Malam ini kucoretkan lagi sedikit cerita hidupku, atau mungkin cerita hidup kita.
      Kusingkap langsir merah di kamar aku dan temanku ini. Berbunga rasa hati melihat titisan air hujan mengalir bak air sungai di permukaan tingkap. Alangkah dinginnya malam ini terasa hingga ke tulang sum-sum. Sejenak, aku seolah-olah terpaku dengan titisan air hujan ini. Sengaja pula aku membiarkan tempiasnya membasahi wajahku dan semilirnya membuai-buai mindaku. Inilah hujan rahmat. Ramadhan yang sering dikatakan bulan panas kini membuktikan bahawa ia juga memiliki kedinginannya yang mampu membuai insan-insan sepertiku.
     Kuperhatikan aliran air hujan itu perlahan-lahan. Terkesima. Turunnya ia membawa nama Pencipta Yang Bijaksana. Bunyi percikannya seakan-akan kedengaran seperti tasbih cintanya pada Rabb. Sehingga ia jatuh membasahi bumi dengan membawa seribu rahmat kepada yang mengharap. Menyuburkan tanah yang gersang lalu mengeluarkan rezeki melalui hidupan lainnya. Sayup-sayup kedengaran kata-kata cinta terucap indah mengalir berzikir di kidung doa sang hujan. Hujan yang jatuhnya dari langit 'azza wa jalla membawa cinta Sang Pencipta. Alangkah bertuahnya jika aku dapat menyertai mereka sang hujan. Maka apa lagi yang aku inginkan? Jikalau hujan boleh membuktikan cintanya, mengapa tidak aku? Aku tidak mahu miskin dengan cinta Allah S.W.T.
     Cinta Allah yang sentiasa menjadi anganku, dambaanku, juga nafasku adalah satu-satunya yang ingin ku cari. Biarlah aku menjadi musafir yang mencari cintaNYA kerana tanpa cintaNYA, apa lagi yang boleh aku cintai sedangkan cintaNYA tidak pernah pudar.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment